JAWATANKUASA
TERAS GANGGUAN SEKSUAL

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
  • Pentadbiran negara Malaysia memandang serius terhadap isu gangguan seksual sebagai perbuatan yang boleh mengganggu suasana dan hubungan dalam pekerjaan. Ini adalah kerana gangguan seksual di tempat kerja boleh mendorong kepada perlakuan jenayah seksual yang lebih berat seperti serangan atau keganasan seksual termasuk ugutan, ancaman dan pencabulan. Perlakuan seumpama ini tidak wajar dianggap remeh kerana ianya memberi kesan negatif terutamanya kepada psikologi mangsa seperti trauma, fobia, takut dan seterusnya menjejaskan rutin harian, produktiviti kerja, kesejahteraan dan kehidupan mangsa secara keseluruhannya.
  • Terdapat beberapa peraturan yang digariskan dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja. Dalam sektor awam, kerajaan telah menggunapakai Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [U.(A) 395/1993]. Pada tahun 1999 Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja. Sehubungan itu, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.3.1.2 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja telah dikuatkuasakan bagi memperkukuhkan tindakan tatatertib yang boleh diambil kepada pelaku gangguan seksual di tempat kerja.
  • Pada tahun 2022, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melulus dan menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] sebagai satu penegasan bahawa gangguan seksual adalah suatu pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.
  • Berdasarkan seksyen 2 Akta 840 ini, gangguan seksual ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.
  • Pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 [Akta A1651] yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 juga telah membuat penambahan kepada Seksyen 81H dengan, mewajibkan majikan hendaklah sepanjang masa mempamerkan notis mengenai gangguan seksual di tempat kerja untuk meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual.
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyahut hasrat Kerajaan dalam menangani dan seterusnya membasmi kes-kes gangguan seksual di tempat kerja. Oleh hal yang demikian UPSI komited memperkenalkan Dasar Antigangguan Seksual Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2023 yang memperuntukkan panduan dan kaedah dalam menangani dan mengendalikan kes-kes gangguan seksual di UPSI.

UPSI bertekad untuk menyediakan persekitaran pembelajaran dan pekerjaan yang selamat, sejahtera dan bebas daripada gangguan seksual tanpa sebarang diskriminasi bagi melindungi hak warga dan pihak yang berkepentingan dengan UPSI.

Dalam dasar ini, kecuali konteksnya mengkehendaki maksud yang lain –

“JKTGS”

merujuk kepada Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual;

“kakitangan”

merujuk kepada mana-mana staf akademik dan bukan akademik yang berkhidmat untuk UPSI sama ada bertaraf Tetap, Kontrak, Sambilan, Skim Perkhidmatan Khas Universiti dan lantikan skim dalaman Universiti;

“kampus”

merujuk kepada kampus UPSI yang meliputi semua fakulti, bangunan, dan kolej-kolej kediaman;

“luar kampus”

merujuk kepada mana-mana kawasan di luar kawasan UPSI;

“orang luar”

merujuk kepada individu berikut:

a)        seseorang yang mempunyai hubungan pekerjaan dengan UPSI secara sah dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang;

b)        orang yang mempunyai hubungan yang sah dengan UPSI untuk tujuan pembelajaran, latihan dan perantisan;

c)         seseorang yang dilantik secara sah untuk memegang jawatan awam atau jawatan berasaskan skim di UPSI;

d)        orang yang memasuki kontrak untuk memberi khidmat (contract for service) dengan UPSI;

e)        orang yang bekerja secara sah dengan orang yang memasuki kontrak untuk memberi khidmat (contract for service) dengan UPSI;

f)          pelawat yang mempunyai urusan atau berada di premis UPSI secara sah termasuk orang yang menerima perkhidmatan secara sah daripada mana-mana pusat tanggungjawab UPSI; atau

g)        bagi tujuan universiti mengenakan atau membawa tindakan undang-undang terhadap seseorang, mana-mana orang yang berada di premis UPSI secara sah atau tidak sah;

“pelajar”

merujuk kepada seseorang pelajar berdaftar yang mengikut pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa di UPSI;

“pemberi maklumat”

merujuk kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau menjadi saksi kepada perlakuan gangguan seksual dan menyalurkan maklumat tersebut dengan persetujuan pengadu;

“pengadu”

merujuk kepada warga UPSI atau orang luar yang mempercayai dirinya mengalami gangguan seksual ataupun diganggu secara seksual dan membuat laporan rasmi berkenaan kejadian tersebut;

“pengganggu”

merujuk kepada individu, sama ada kakitangan, pelajar atau orang luar yang dinamakan oleh pengadu sebagai bertanggungjawab dalam melakukan gangguan seksual;

“UPSI”

merujuk kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI);

warga UPSI

merujuk kepada kakitangan dan pelajar UPSI.

Gangguan seksual bermaksud sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini, tidak disenangi dan memberi kesan diskriminasi terhadap jantina atau gangguan dalam apa-apa bentuk termasuklah secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal –

  • yang atas sebab yang munasabah, yang dianggap oleh pengadu sebagai syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau pembelajarannya; atau
  • yang atas sebab yang munasabah boleh dianggap oleh pengadu sebagai satu pencabulan maruah, penghinaan atau ancaman terhadap dirinya tetapi tiada hubungan terus ke atas pekerjaan atau pembelajarannya; dan
  • Gangguan seksual boleh berlaku sekali atau berulang kali.
  • Gangguan seksual dalam konteks ini diklasifikasikan seperti yang berikut:

1.Gangguan seksual berbentuk balasan atau quid pro quo

Merujuk kepada gangguan berbentuk seksual, permintaan memberikan ganjaran seksual (sexual favour), permintaan secara lisan ataupun fizikal dan, sama ada melalui komunikasi bertulis berbentuk seksual yang memberi kesan kepada status pekerjaan kakitangan atau pembelajaran pelajar.

Khususnya dalam keadaan seseorang kakitangan mempunyai kuasa untuk memberikan sesuatu faedah atau ganjaran tertentu kepada pengadu seperti penilaian prestasi yang baik, peluang peningkatan kerjaya, ganjaran, pemberian markah/gred dan faedah-faedah lain yang dijanjikan sekiranya pengadu bersetuju memberikan layanan seksual kepada pengganggu tersebut.

2.Gangguan seksual yang mengancam ketenteraman peribadi warga UPSI

Merujuk kepada tingkah laku seksual yang dianggap oleh pengadu sebagai ancaman, ugutan dan pencabulan yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan faedah-faedah pekerjaan atau pembelajaran. Termasuk dalam klasifikasi ini ialah gangguan seksual antara kakitangan atau antara pelajar, atau antara kakitangan dan pelajar, atau oleh orang luar yang berurusan dengan warga UPSI. 

Gangguan seksual di luar kampus boleh timbul daripada hubungan dan tanggungjawab yang berkaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran di UPSI. Antara situasi boleh berlakunya gangguan seksual seperti ini termasuklah tetapi tidak terhad dalam situasi berikut: 

  • majlis sosial berhubung dengan tugasan rasmi UPSI;
  • semasa kakitangan atau pelajar menjalankan atau mengikuti tugasan rasmi UPSI;
  • sesi persidangan atau latihan berkaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran;
  • semasa perjalanan berkaitan dengan tugasan rasmi UPSI; atau
  • melalui apa-apa kaedah termasuk media elektronik atau media sosial.

Bentuk-bentuk gangguan seksual boleh diklasifikasikan kepada empat jenis iaitu:

  • Gangguan Secara Fizikal

Gangguan yang berbentuk sentuhan fizikal yang berunsur seksual seperti memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium, menjilat, menggesel, menggeletek atau meraba sehingga pengadu berasa kurang selesa, tersinggung, terhina atau terugut.

  • Gangguan Secara Lisan

Gangguan ini dalam bentuk penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut untuk berurusan dengan pengganggu atau mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual. 

  • Gangguan Secara Bukan Lisan

Gangguan ini dipamerkan melalui pakaian, sikap atau perlakuan yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual, antara lain  menjeling, menghidu, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir, merapati secara seksual atau menggunakan bahasa isyarat yang lain.

  • Gangguan Secara Visual

Perlakuan menghantar nota, surat, mel elektronik (e-mel), short messaging system (sms), multimedia messaging system (mms), gambar, poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual yang diedarkan menerusi media elektronik, blog, vlog atau platform media sosial seperti aplikasi Facebook, Whatsapp, Instagram, Twitter, Tiktok atau apa-apa aplikasi yang membolehkan bahan-bahan dipindahkan ke paparan umum dan terbuka atau melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada pengadu yang menyebabkan pengadu berasa tersinggung, terhina atau terugut yang menjurus kepada gangguan seksual.

SENARAI

AHLI JAWATANKUASA TERAS GANGGUAN SEKSUAL

Prof. Madya Dr. Marinah binti Awang
Pengerusi
(Pensyarah Universiti, Fakulti Pengurusan Ekonomi)
Prof. Madya Dr. Nurul ‘Ain Hidayah binti Abas
Timbalan Pengerusi
(Pensyarah Universiti, Fakulti Pembangunan Manusia)
Puan Salwati binti Mohd Aris
Ahli Jawatankuasa
(Penasihat Undang-Undang, Bahagian Perundangan)
Puan Etty Widayu binti Samsungei
Ahli Jawatankuasa
(Pegawai Undang-Undang, Bahagian Perundangan)
Encik Muhammad Tarmizi bin Abd Rahman
Ahli Jawatankuasa
(Pengarah, Pusat Islam)
Dr. Pau Kee
Ahli Jawatankuasa
(Pengarah, Pusat Kaunseling)
Puan Mahanum bin Muhammad
Ahli Jawatankuasa
(Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia)
Puan Maskana binti Ahmad
Ahli Jawatankuasa
(Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar)
Encik Nazar Mohd Zahidi bin Mohd Azahar
Ahli Jawatankuasa
(Timbalan Pendaftar, Bahagian Governan)
Encik Ilmizan bin Ismail
Ahli Jawatankuasa
(Ketua Unit Integriti)
Puan Nur Farihah bt Mohd Fadullah Sahimi
Ahli Jawatankuasa
(Penolong Pendaftar Kanan, Unit Integriti)
Puan Noraini binti Sapuan
Ahli Jawatankuasa
(Penolong Pendaftar, Unit Integriti)
Previous slide
Next slide